Menanti naratif baharu gabungan politik hadapi PRN

Menanti naratif baharu gabungan politik hadapi PRN

DALAM tempoh kira-kira enam bulan akan datang, negara akan sekali lagi menyaksikan persaingan politik dengan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ia membabitkan Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.Dengan penjajaran baharu gabungan politik yang berlaku selepas Piliihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu, tentunya menarik untuk melihat strategi bakal dilaksanakan menjelang pilihan raya berkenaan yang dijangka diadakan selepas Jun tahun depan.

Pada ketika ini, Perikatan Nasional (PN) dilihat sebagai gabungan yang lebih yakin untuk bersaing dalam pilihan raya tersebut.

Selain mempunyai kesepakatan lebih jelas membabitkan parti komponen utamanya iaitu Bersatu dan Pas, ia juga didapati memiliki momentum lebih positif hasil daripada keputusan dicapai pada PRU15 baru-baru ini.

Selain hampir berjaya menyapu bersih kerusi Parlimen di Kelantan, Terengganu dan Kedah, gabungan itu juga berjaya menembusi beberapa kubu kuat pihak lawannya iaitu Pakatan Harapan di negeri Pulau Pinang dan Selangor.

Dalam pada itu, bagi PH pula, keputusan bagi membentuk kerajaan bersama-sama BN yang terpalit dengan beberapa isu integriti membabitkan pimpinannya pasti sedikit sebanyak merosakkan imej gabungan tersebut.

Malahan, penyokong gabungan itu juga pastinya memerlukan masa untuk menerima perkembangan tersebut, apatah lagi ia turut digunakan oleh PN untuk menyerang kepimpinan kerajaan dipimpin Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Situasi berkenaan turut memberikan kebimbangan terhadap penyokong PH yang melihat gabungan itu terlalu lemah dalam menangani kritikan dilontarkan oleh pihak lawan terutamanya di media sosial.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli pada Ahad berkata, beliau mengambil maklum berkenaan perang politik dimainkan oleh PN di platform berkenaan.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, selepas seminggu memahami keadaan semasa kementerian, beliau akan mula mengeluarkan kenyataan politik untuk menggariskan perancangan, usaha dan persediaan menghadapi enam PRN akan datang.

Dengan mengambil kira perkembangan yang berlaku, PH pastinya memerlukan naratif baharu untuk menyakinkan pengundi termasuk penyokong mereka untuk memberikan sokongan terhadap gabungan itu.

Ini memandangkan dalam kempen PRU15 sebelum ini, gabungan itu sering kali menggunakan isu integriti dan salah guna kuasa pihak lawan terutamanya BN, yang kini merupakan rakan komponen dalam kerajaan sebagai antara modal utama bagi menarik sokongan orang ramai.

Pada masa sama, sebagai kerajaan, PH dan BN juga perlu membahagikan fokus mereka antara berkempen dan juga memikul tugas besar untuk menguruskan negara.

Dalam pada itu, di pihak PN pula, mereka tentunya tidak boleh terlalu selesa dengan sentimen semasa yang dimainkan terutamanya dalam kritikannya terhadap pentadbiran kerajaan baharu.

Perkara itu boleh memakan diri sekiranya dalam tempoh tersebut, parti kerajaan dapat menunjukkan prestasi yang baik khususnya dalam menangani isu utama dihadapi rakyat iaitu peningkatan kos sara hidup dan pemulihan ekonomi negara.

Sumber: Sinar Harian

Apa pendapat anda? Sudah Baca, Jangan Lupa Memberi Komen, LIKE Dan SHARE YA Semoga Bermanfaaat Terima kasih!

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantausemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*