
Murid Tahun 2 Patah Jari, Kipas Siling Bilik Darjah Tiba-Tiba ‘Roboh’
Jari seorang pelajar perempuan Tahun 2 sebuah sekolah di Selama dilapor patah selepas terkena bilah kipas yang tiba-tiba terjatuh dari siling bilik darjah dalam kejadian yang berlaku pada Selasa, lapor Sinar Harian.
Kejadian yang difahamkan berlaku pada sekitar jam 10 pagi itu telah mengakibatkan tiga murid perempuan di dalam bilik darjah terbabit mengalami kecederaan ringan.
Bapa kepada pelajar perempuan itu berkata, selain patah jari, anaknya juga mengalami kecederaan lain termasuk di bahagian dada akibat daripada terkena kipas tersebut.
“Secara kebetulan, meja anak saya betul-betul di bawah kipas itu, jadi kecederaan yang dialaminya agak serius berbanding pelajar yang lain.
“Apabila dibawa mendapatkan rawatan ke hospital, doktor memaklumkan tulang jari kiri tangan anak saya telah patah dan terpaksa disimen,” kata bapa berusia 32 tahun yang dikenali sebagai Mohd kepada Sinar Harian pada hari ini.
Beliau berkata lagi, anaknya juga telah diberikan cuti sakit selama 14 hari oleh hospital dan kini masih trauma dengan kejadian malang yang berlaku padanya hari ini.
Menurutnya lagi, dia dan isterinya berasa agak terkilan apabila pihak sekolah tidak melakukan tindakan segera sewajarnya.
Sebaliknya pihak sekolah hanya menunggu ibu bapa pelajar terbabit untuk hadir dan membawanya sendiri ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
“Saya terima kemalangan ini berlaku kerana ia bukanlah disengajakan, cuma terkilan dengan tindakan pihak sekolah yang melambatkan proses rawatan ke atas anak saya dan mangsa yang lain,” jelasnya lagi.
Mohd juga mendakwa dia sendiri telah melihat sendiri keadaan bilik darjah tersebut dan mendapati keadaan kipas terbabit sememangnya sudah uzur, berkarat dan tidak selamat untuk digunakan lagi.
Menurutnya lagi, penggunaan peralatan yang sudah uzur seumpama itu tidak sepatutnya berlaku kerana boleh mengakibatkan kemalangan yang tidak diduga seperti hari ini. Ini melibatkan keselamatan murid dan guru bilik darjah tersebut.
“Sekiranya perkara ini tidak mendapat perhatian yang sewajarnya, tidak mustahil kejadian sama boleh berlaku lagi,”katanya lagi kepada Sinar Harian.
Berikutan daripada kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat Mohd di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama pada petang tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Selama, Superintendan Sabri Saad mengesahkan bahawa beliau telah menerima laporan berkenaan kejadian terbabit ketika dihubungi oleh Sinar Harian.
Sumber: Sinar Harian
Apa pendapat anda? Sudah Baca, Jangan Lupa Memberi Komen, LIKE Dan SHARE YA Semoga Bermanfaaat Terima kasih!
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantausemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri
Be the first to comment